Rabu, 25 Desember 2013

Lelaki Minat Melawat Kubur Selebriti Dunia


BIASANYA orang biasa, percutian idaman melibatkan melawat kawasan bersejarah, membeli-belah, berenang dan mungkin berkhemah tetapi bagi seorang lelaki berusia 38 tahun beliau lebih suka bercuti dan melawat kubur selebriti terkenal.

Beliau telah pun membelanjakan lebih RM200,000 dan telah melawat tempat bersemadi kira-kira 200 manusia terkenal seluruh dunia.

Dari kubur legenda Kung Fu Bruce Lee di Seattle, ke keranda kaca ketua komunis Mao Tze Tung di Beijing, China, lelaki itu Mark Dabbs sudah menjelajah ke semua benua kecuali Antartika dalam pencarian kubur selebriti.

Menurut beliau, segala-galanya bermula 20 tahun lalu, selepas beliau melawat kubur bekas Presiden Amerika John Ftitzgerald Kennedy di Virginia, Amerika Syarikat.

Beliau mendapati ia satu pengalaman yang menakjubkan dan sejak itu beliau mula mencari kubur-kubur selebriti di seluruh dunia membawa bersama adik beradiknya dan kadangkala teman wanitanya bersama.

Mark mengakui kebanyakan orang tidak mahu berkongsi minat sebegitu melawat perkuburan selebriti tetapi baginya itulah cara terbaik untuk menghabiskan masa cuti musim panasnya.

Beliau berkata setiap kubur menceritakan riwayat hidup selebriti itu dan dia tidak kisah membelanjakan wang untuk melancong tiga atau dua perjalanan setahun untuk memenuhi minatnya.

Mark turut merakamkan semua memori lawatannya dalam foto di lebih 200 kubur selebriti serata dunia. Beliau bagaimanapun meletakkan kubur Bruce Lee, Leon Trotski dan John F Kennedy sebagai tiga teratas paling bermakna baginya.

Beliau turut melawat kubur legenda Wild West Buffalo Bill dan Calamity Jane, kubur Charlie Chaplin di Switzerland juga kubur Beethoven, Karl Marx dan Johnny Ramone.

Sekarang ini, Mark sedang mengesan kubur-kubur bekas Presiden Amerika dan Perdana Menteri Britain untuk menambahkan senarai kubur yang sudah dilawatinya.



Tidak ada komentar:

Posting Komentar