Senin, 23 Desember 2013

Isu Lahad Datu Datuk Seri 3 lain ditahan


sinarharian
4 April 2013
Hamza Taib Hamza Taib
KOTA KINABALU - Polis menahan Datuk Seri Clarence Luing Karl @ Muhammad Khalil John L Karl berhubung isu pencerobohan Lahad Datu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan bersama tiga yang lain di sebuah rumah di Tanjung Aru kira-kira jam 10.30 malam tadi.

"Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012," kata beliau dipetik Star Online.

Lahad Datu, seorang lelaki tempatan bergelar Datuk Seri yang dicari berhubung kes yang berkaitan Operasi Daulat, ditahan di sebuah rumah pangsa di Tanjung Aru, Kota Kinabalu malam tadi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang berkata lelaki itu ditahan pada kira-kira 10.30 malam, beberapa jam  selepas berita dia dicari polis disiarkan melalui media.

Beliau berkata penahanan lelaki yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kesultanan Sulu itu dibuat hasil maklumat orang  ramai.

"Susulan itu, polis turut menahan seorang wanita, dipercayai isteri Datuk Seri itu dan seorang lelaki masing-masing berusia 55 dan  30 tahun, di kawasan berdekatan," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Tan berkata beberapa dokumen penting turut dirampas, dan ketiga-tiga mereka kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Semalam, Tan memberitahu sidang akhbar polis mencari seorang lelaki bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan kes berkaitan Operasi Daulat, dan polis turut mengedarkan gambar lelaki terbabit.

Sementara itu, Tan berkata sebuah balai polis bergerak akan mula beroperasi esok di Kampung Tanjung Batu, Tanjung Labian, Lok  Buani, Lok Sambuang, Tanagian dan Sungai Bilis bagi memudahkan orang kampung membuat laporan berkaitan kehilangan harta  benda berikutan pencerobohan militan Sulu.

Mengenai situasi terkini kampung terbabit, Tan berkata keadaan adalah selamat, aman dan tenteram dengan penduduk digalak menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

"Beberapa sekolah juga akan kembali dibuka Isnin ini, ibu bapa janganlah bimbang untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerana  pasukan keselamatan sentiasa berkawal dan berada di kawasan berhampiran," katanya.- Bernama

Tidak ada komentar:

Posting Komentar