Kamis, 26 Desember 2013

Bekas isteri Chef Riz nyaris maut


BEGINILAH keadaan kereta Toyota Vios milik Ana Dahlia yang rosak selepas dirempuh di Jalan Genting Klang semalam. Gambar kanan menunjukkan kecederaan yang dialami pelakon itu.

KUALA LUMPUR - Pelakon Ana Dahlia yang juga bekas isteri Chef Riz nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Genting Klang di sini semalam.

Kejadian pukul 1.30 pagi itu melibatkan kereta jenis Proton Iswara dipandu A. Chandran Segaran, 30, Toyota Vios yang dipandu Ana Dahlia dan sebuah van dinaiki tiga lelaki.

Kereta Ana Dahlia tersadai di atas benteng pembahagi jalan akibat dirempuh dengan kuat.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu Chandran Segaran terbabas ketika dalam perjalanan dari Gombak ke pusat bandar lalu merempuh dua lagi kenderaan.

"Ketiga-tiga kenderaan itu rosak teruk namun pemandunya tidak mengalami kecederaan serius," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ana Dahlia memberitahu, dia masih trauma dengan kejadian yang mengakibatkan dia cedera ringan di kepala dan tulang rusuknya retak.

Mengimbau semula kejadian itu, pelakon filem Mantra itu memberitahu, kejadian berlaku begitu pantas hingga membuatkan dia tidak sempat hendak bertindak apa-apa.

"Saya cuma nampak cahaya lampu yang datang dari arah depan dan kemudian merempuh van yang berada lebih kurang 300 meter di hadapan saya.

"Kereta itu kemudian melanggar pula sebelah kanan kereta saya sebelum ia berpusing beberapa kali dan tersadai di atas pembahagi jalan," ceritanya ketika dihubungi.

Ujar Ana Dahlia, dia dimaklumkan kereta Proton Iswara yang melanggarnya itu tidak mempunyai cukai jalan sekali gus menyukarkan dia untuk membuat tuntutan insurans.

"Saya diarahkan oleh doktor supaya berehat dan tidak boleh banyak bergerak," katanya.(kosmo)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar