Rabu, 01 Januari 2014

SEGERA Pembayaran Bantuan Khas RM500 Untuk Setiap Keluarga Mangsa Banjir – Najib


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bantuan kewangan RM500 diberikan kepada setiap keluarga yang terlibat dengan musibah banjir.

“Sebagai tanda keprihatinan kerajaan, saya faham bila kena banjir sebab saya ahli Parlimen (Pekan) kawasan yang selalu kena banjir. Saya tahu susah payah, penderitaan mereka.

“Sebagai tanda kasih dan prihatin kerajaan maka saya nak umumkan pembayaran RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat banjir,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut menyarankan semua bank di negara ini untuk membenarkan mangsa-mangsa banjir menangguhkan sementara bayaran balik pinjaman mereka.

“Saya mengalu-alukan cadangan malah langkah pertama dan dibuat oleh Malayan Banking supaya (bayaran balik) hutang bank bagi mangsa banjir ditangguhkan sementara.

“Saya sebagai Menteri Kewangan sarankan semua bank mengikut langkah menangguhkan bayaran balik untuk sementara waktu,” katanya. Presiden Umno itu melahirkan rasa simpati kepada rakyat Malaysia yang
berdepan dengan masalah banjir khususnya di negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung.

“Timbalan perdana menteri dah turun melawat dan sebagai pengerusi jawatankuasa banjir negara telah mengeluarkan arahan yang tegas kepada semua jabatan, agensi kerajaan bantu mangsa banjir dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Banjir yang melanda Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan membabitkan puluhan ribu mangsa terpaksa dipindahkan.

Perdana Menteri juga telah bergegas ke Pahang untuk meninjau lebih dekat masalah rakyat susulan banjir, selepas merasmikan Perhimpunan Agung Umno di sini Khamis.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar