Rabu, 01 Januari 2014
Juara Raja Lawak Wala Belum Terfikir Tinggalkan Kerjaya Polis
PETALING JAYA – Juara program Raja Lawak musim ketujuh iaitu Wala memberitahu masih belum terfikir sama ada ingin meninggalkan kerjaya sebagai anggota polis demi meneruskan minat dalam bidang lawak.
Dianggotai oleh Walawd Parman dan Wan Mustafa Muntek, mereka berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana perlu berfikir semasak-masaknya sebelum mengambil sebarang keputusan.
“Ini adalah tentang masa depan kami dan ia tidak boleh dibuat secara mendadak dan perlu berfikir semasak-masaknya terlebih dahulu.
“Bagaimanapun kami pada masa sama mahu mengembangkan kerjaya dalam bidang lawak di Kuala Lumpur,” kata Wan Mustafa kepada mStar Online.
Kumpulan yang berasal dari Sabah itu diumumkan sebagai juara program Raja Lawak musim ketujuh pada pertandingan akhir yang diadakan malam Jumaat lalu di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan undian sebanyak 50 peratus.
Kemenangan itu telah melayakkan mereka untuk membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro.
Wan Mustafa menjelaskan mereka kini bertugas di Tuaran, Sabah dan hanya mengambil cuti tanpa gaji buat masa ini bagi membolehkan mereka menyertai program Raja Lawak.
Dalam pada itu, Wan Mustafa berkata, mereka tidak menyangka akan sampai ke tahap juara dan menganggap usaha keras mereka sebelum ini telah membuahkan hasil.
Jelasnya lagi, walaupun telah mempunyai pekerjaan tetap sebagai polis mereka tidak mahu mensia-siakan bakat yang dimiliki dan berharap ia dapat dikongsi bersama peminat.
“Ini bukan kali pertama kami cuba untuk menyertai Raja Lawak dan ternyata cubaan berkali-kali itu berbaloi dan berharap dapat berkongsi bakat yang ada pada kami dengan peminat sekaligus merancakkan lagi industri lawak di negara ini,” katanya.
Ditanya mengenai wang kemenangan mereka, Walawd memberitahu buat masa ini dia tidak mempunyai sebarang perancangan khusus tetapi merancang untuk melangsaikan hutang dan mengadakan kenduri kesyukuran atas kemenangan mereka berdua.
Sementara Wan Mustafa pula memberitahu akan menderma sebahagian wang berkenaan kepada sebuah rumah anak yatim di Tuaran yang telah diniatkan sejak awal selain berhasrat untuk menggunakan wang berkenaan bagi menghantar kedua ibu bapanya mengerjakan haji.
Dalam perkembangan lain, Wala akan bertanding pada program Raja Lawak Mega 2013 yang akan diadakan pada penghujung tahun ini. – mStar
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar