Selasa, 04 Februari 2014

Tidak perlu kecewa letak jawatan secara terhormat

Harakahdaily, 17 Jun 2013
KOTA BHARU: Tan Sri Abdul Aziz Yusof, Pengerusi SPR (gambar) tidak cukup dengan hanya beliau menyatakan kekecewaannya sahaja tetapi atas dasar tanggungjawab, beliau wajib meletakkan jawatan dan berundur secara terhormat.

Kegagalan tersebut bukan kecil, ia memberikan kesan besar terhadap kepercayaan masyarakat kepada ketelusan perjalanan proses pilihanraya.

Demikian kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Abdul Aziz Yusof melahirkan kekecewaan ekoran pelaksanaan dakwat kekal yang gagal di dalam pilihanraya umum yang lepas.

Bahkan beliau menyifatkan bahawa itulah kekecewaan yang paling besar dalam hidupnya, lapor Sinar Harian hari ini.

"Kalau orang tanya saya sekarang ini, apakah perkara yang paling menyedihkan dalam hidup saya, saya akan jawab dakwat kekal,” katanya yang dipetik akhbar bahasa Melayu itu.

Kata Fadhli, dalam situasi Pakatan Rakyat meraih undi popular melebihi Barisan Nasional dan Barisan Nasional terus kekal memerintah, adalah sesuatu yang sangat mengaibkan jika perjalanan pilihanraya dipersoalkan ketelusannya.

"Kegagalannya diakui sendiri oleh Pengerusi SPR. Masyarakat tertanya-tanya, adakah benar kerajaan hari ini berkuasa atas mandat yang palsu?" soal beliau.

Justeru, katanya, tidak ada penyelesaian yang paling sesuai melainkan Pengerusi SPR dan para pegawainya wajib meletakkan  jawatan, "suruhanjaya bebas perlu dibentuk menyiasat keraguan yang timbul dan pilihanraya semula wajib diadalan di kawasan-kawasan yang bermasalah."

Pelbagai laporan polis telah dibuat ekoran dakwat kekal yang tidak kekal digunakan oleh SPR dalam pilihan raya umum ke 13 lalu.

Calon PAS Arau yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din antara yang paling awal membuat laporan polis. Beliau hadir sendiri ke Pajabat SPR Perlis di Kangar pada hari mengundi bagi melaporkan pengalaman peribadi beliau dan turut membuat laporan polis.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar